FAMILY & TRAVEL

“In the end, kids won’t remember that fancy toy you bought them, they will remember the time you spent with them.” – Kevin Heath

Wednesday, December 30, 2015

Tips & Tricks ke Jeju Island, Korea

Fineeeee....

Mood tak berapa nak baik sangat minggu ni bila result pertukaran aku tak diluluskan. Rasa nak share banyak benda tapi tak sesuai pulak dalam entry. Takut ada yang sentap menyentap nanti.


Sebab mood tak baik, maka aku pun dengan hati yang panas membara ni rasa malas bebenor nak keja hari ni.  Maka dengan itu jugak aku pun curi masa layan dulu blog yang mati segan hidup tak mahu ni.

Hari ni nak kongsikan tips yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk korang semua yang ada terdetik di hati nak ke Jeju Island tapi tak tahu macamana persediaan dan persiapan sebelum ke sana.


Masa memula aku plan nak ke Jeju hari tu, aku pun blur.. tak tahu ape persediaannye. Finally, hasil dari menggoogle berhari-hari, aku dah siapkan persiapannya lebih kurang 80%. Tinggal nak bawa badan je ni.


Apa yang korang perlu buat bila dah plan nak ke Jeju Island:
1) Sekurang-kurangnya korang perlu berada di Jeju 3 hari. Baru korang dapat cover sebahagian dari pulau tu. Ingat, sebahagian je tau... hahaha.. kalau nak cover habis semua tempat, maybe korang perlukan 4-5 hari. Baru cukup.


2) Listkan semua tempat-tempat yang boleh dilawati di Jeju Island. *nanti aku akan kongsikan*


3) Sebaiknya korang turun di Airport Busan. Sebab, dari Busan ke Jeju Island dah dekat. Tak perlu turun di Incheon, Seoul.  Korang boleh pilih Jeju Air, Korean Air, Eaststar jet. Standard free luggage 15kg sorang.  Aku pilih Jeju Air.


4) Ada 2 jenis pengangkutan untuk ke Jeju Island. Samaada by Ferry atau naik flight.  Aku pilih naik flight sebab tak kuasa naik ferry. Naik flight sekejap je. 1 jam dah sampai. Kalau naik ferry, lebih kurang 12 jam.  Tambang ferry dari Busan ke Jeju dalam 4,000 KRW 40,000 KRW . *anggaran masa lebih kurang 1/2 hari*


5) Apabila di Jeju Island, korang hanya boleh gunakan beberapa perkhidmatan sahaja disana.  Subway TAK ADA ye. Antaranya;

:- Sewa Kereta = kadar termurah aku dapat 30,000 KRW sehari. Pakai kereta kecil je. Macam saiz Viva. Muat la 2-3 orang je sebab ada beg sekali kan.
:- Sewa Teksi = kadar purata sehari (8 jam) 150,000 KRW.  Teksi ni akan bawa korang jalan-jalan satu pulau. Kalau lebih 8 jam ada charge tambahan lebih kurang 20,000 KRW per hour. Boleh email ke : maarooii@yahoo.co.kr untuk booking slot dengan dia. Teksi ni akan datang ambil korang kat tempat penginapan.
* PERLU DIINGATKAN, MAKAN DAN MINUM DRIVER TAXI NI MUNGKIN KORANG KENA SUPPORT. SILA TANYA DAHULU SEBELUM BUAT BOOKING*
:- Motor = yang ni aku tak survey pun kadar dia. Sebab memang tak masuk dalam list aku langsung. Haha.
:- Bas = memang murah. Tapi korang perlu maklum, bas kalau dah terlepas dari waktunya, kena tunggu berjam-jam.  Melainkan korang banyak sangat masa kat sana, maybe korang boleh guna option ni.


6) Selepas dah decide perkhidmatan yang korang nak guna, buat persiapan terperinci.  Bagi yang ingin Sewa Kereta, step yang korang perlu buat ialah:

:- Sediakan IDP (International Driving License). Bayaran yang dikenakan pihak JPJ sebanyak RM150. Cara-caranya mudah sahaja, pergi mana-mana cawangan JPJ, ambil borang, isi, dan bayar. Siap dalam masa kurang dari 1 jam.  Dokumen yang perlu dibawa, Gambar Passport (background putih), Salinan IC, Salinan Lesen Memandu (tempoh tamat lesen perlu lebih dari satu tahun. Kalau tak cukup setahun, boleh terus renew lesen memandu sekali kat situ) dan juga Duit RM150.
:- Cuba survey sebanyak yang mungkin harga sewa kereta & jenis kereta yang ditawarkan oleh website-website yang berdaftar.  *List website aku akan share pada update yang akan datang.*


7) Pastikan passport cukup tempoh. Ada beberapa pusat sewa kereta perlukan nombor passport semasa nak booking online.


Rasanya dah cukup semua maklumat aku share. Kalau ada apa-apa yang terkini nanti aku akan update ye.




P/S: Kalau yang 1st time nak datang korea tak tahu apa yang korang perlu buat, boleh ikut tips ni > http://inicelotehaku.blogspot.my/2014/04/tips-trick-ke-korea.html




Thursday, December 3, 2015

Update Yang Tertangguh....

Assalamualaikum semua...


Rasa dah bersawang benor blog kesayangan nih...


Hampir 5 bulan menyepikan diri.


Kini, aku akan kembali untuk mengapdep cerita-cerita yang tertunggak bulan-bulan yang lepas.




__________________________________________________________________________________




Awal November ,


Aku kembali bertugas setelah hamper 5 bulan bercuti tanpa gaji.


Alhamdulillah... walaupun aku gagal untuk IVF Pertama (2 kali fet) yang lalu, aku tetap akan bangkit dan meneruskan usaha-usaha ini.


Perancangan seterusnya adalah dengan rawatan secara Natural, dalam masa 3-6 bulan.  Diikuti dengan IVF ke 2 pertengahan tahun 2016.


Rawatan kali ke 2 ini kemungkinan akan beralih kepada swasta. Tapi pusat rawatannya masih dalam pemilihan lagi.


Doaku agar Allah memakbulkan dan dapat memberi pinjaman syurga ini walau hanya seorang..


Kepada rakan-rakan yang senasib yang turut sama berjuang demi Anugerah Terindah ini, bertabahlah dalam menghadapi apa jua dugaan dan rintangan yang dihadapi.


Semoga kita sama-sama diberikan keberkatan, ganjaran dan pahala dalam setiap kesabaran yang dilalui..


Amin......




__________________________________________________________________________________




Perancangan seterusnya adalah aku dan Mr.Cool akan bercuti ke bumi Korea Selatan sekali lagi Januari 2016.


Persiapan hampir 70% dah siap termasuk itinerary nanti.


Nantikan update dari semasa ke semasa ye...:-)


* Sekarang ni payah sikit nak hapdep entry. Bahagian IT dah block la blog kesayangan kite nih... sedeyyyyyy.... **






Thursday, July 2, 2015

Meningkatkan Peratus Kejayaan IVF Ke-2

Seperti biasa, bila tiba bulan Ramadan, aku ada satu habit yang memang susah nak hilang...



Bangun sahur seawal jam 3.30 pagi.. Sediakan hidangan buat Mr.Cool tercinta...



Lepas tu, memang aku tak akan tidur...

Bukan tak mahu baring semula, tapi mata tak nak lelap. Entah ape pesen tah habit aku ni..



Dari jam 4.30 pagi aku cuba google info yang berkaitan dengan susulan IVF ke-2..

Malangnya tak banyak yang aku jumpa..



Aku cuba cari info berkaitan meningkatkan kadar kejayaan hamil untuk IVF ke-2 nanti.



Sesiapa TTCians yang pernah melalui IVF ke-2 dan berjaya hamil, meh la kongsi sikit tips korang...

Tak lupa juga pada TTCians yang pernah melalui rawatan IVF lebih daripada 2x, jom sama-sama kongsi cerita... Kalau ada link mintak tolong korang post kat comment ya...


Sama-samalah kita berusaha untuk memiliki zuriat dari darah daging sendiri walaupun hanya seorang yg dapat dimiliki.....




Wednesday, July 1, 2015

Mencari Kekuatan Selepas Keguguran IVF Pertama...

Assalamualaikum semua TTCians...

Lama sangat dah bersawang blog ni tak hapdep2...

Tak ada kesempatan untuk hapdep....

Awal selepas IVF FET , aku memang tak dan nak bukak blog ni.... Apetah lagi keupayaan nak menaip langsung tiada...



6 minggu kandungan......

Aku keguguran.....

Lebih menyedihkan lagi bila 3 hari menjelang Ramadan lalu......




Tak tahu nak ungkapkan perasaan ni....

Tak tahu dimana silapnya...

Mungkin itu ketentuan Allah..... 

Redha dalam pasrah.....




Kini, aku bangkit semula.... Meneruskan rawatan IVF Ke 2... Baki Ketiga-tiga embrio yang tinggal akan aku gunakan sebaik mungkin... 

Doa dan harapan, moga kali ini akan berjaya...

Rawatan follow up akan bermula pada 12 Ogos 2015... (Pertengahan Raya)

Doakan semoga semuanya selamat dan berjaya.....





* Cuti Tanpa Gaji aku lanjutkan sehingga Mei 2016... Susah pulak nak naik office, lepas tu nak apply cuti balik. Kompem2 la boss aku tak setuju... Sekarang aku berstatus 'Suri Rumah Sepenuh Masa'..Rileks serta dekatkan diri dgn Pencipta Yang Maha Esa.... 

** Kalau rajin, aku akan share tips-tips 2ww nanti ya...


Monday, May 11, 2015

Rawatan IVF 14 (11/05/2015)

Seksanya nak bangun pagi hari ni...

Habis satu badan aku sakit-sakit dek kerana cuti hujung minggu lalu kami habiskan masa dengan mengemas dan mendeco sikit rumah mak.

Tak lama lagi nak puasa. Lepas tu raya. Nanti bila masa la pulak nak buat semua tu kan...

Seperti yang telah ditetapkan, hari ini adalah hari appoiment untuk scan.

Disebabkan kondisi badan tak berapa baik, jadi aku gerak keluar rumah pun dah agak lewat dalam jam 8.15 pagi.

Sampai di HUKM lebih kurang jam 9.00 pagi.




No. giliran diberikan.

Terkejut beruk jap.

Sebab dapat no. 16...

Nasib badan la.... 2 jam jugak la aku menunggu giliran tiba.



Setelah scan selesai, Alhamdulillah....

Nurse minta aku pergi beli & ambil beberapa ubat:

1) Duphaston
2)Ventolin -G
3) Pregnyl 10 000 IU



Dah beli ubat, terus datang jumpa nurse balik dan aku diberikan suntukan Pregnyl 10 000 IU waktu itu juga.

Lepas tu, ingat nurse boleh bagi MC hari ni sebab dah masuk tengahari... Rupanya dapat time sleep saja.

Terpaksalah aku balik ke office semula petang ni. Redha je la..

So, mulai esok sehingga Khamis aku akan bercuti rehat.  Persediaan mental dan fizikal untuk melalui proses seterusnya.

Alhamdulillah.....

Jumaat adalah hari FET dan tentunya aku akan dapat MC.



Perasaan??



Nervous harus lah ada kan....


Semoga Allah memberkati usaha yang kami lakukan ini.

Amin....

Perbelanjaan ke 14:
1) Duphaston = FOC
2)Ventolin -G = FOC
3) Pregnyl 10 000 IU = RM88.62
2) Parking Fee = RM4
Total = RM92.62


 

Thursday, May 7, 2015

Rawatan IVF 13 (07/05/2015)

Hari ni tak ada apa yang nak distorykan.
*erkkk??? Bahasa rojak sudahh*

Macam biasa, awal pagi dah gerak ke HUKM.

Sampai lebih kurang jam 8.30 pagi. Tunggu untuk scan. Giliran aku adalah yang ke 2.

Lepas scan dapat time sleep balik semula ke ofiz.
*Kena keja jugak ko....*

Badan rasa tak sedap. Rasa nak demam. Tapi aku cuba bertahan.

Pergi la jauh-jauh demam. Aku tak undang ko datang pun. Jangan berani-berani datang time-time nak memasuki frasa FET ni..
*nasib badan la. Balik kerja terus ke klinik*

Nurse bagitahu, Isnin (11/05/2015) kena datang scan lagi sekali.

Apa-apa perkembangan akan aku share nanti ya.  Semoga semuanya berjalan lancar.

Pray for me ^^

Perbelanjaan ke 13:
1) Scan : RM53
2) Parking Fee : RM2
Total : RM55

Wednesday, May 6, 2015

Deco Barangan Kaison


Entry kali ni tak ada kene mengena dengan rawatan IVF.
 
Cuti 4 hari bermula Jumaat - Isnin lalu kami manfaatkan dengan sebaik mungkin.
 
Check-up untuk Rawatan IVF seterusnya pada hari Khamis (Esok).
 
So, kami ambil langkah elakkan dari sebarang aktiviti yang akan mengundang letih atau penat nanti.
 
 
 
 
Jumaat, 1 Mei 2015....
 
 
 
 
Bangun awal pagi dan rancang nak ke Kaison di Paradigm Mall, Kelana Jaya.
 
Terletak di tingkat 2.
 
Lumrah kalau berjalan ke shopping mall, kami akan jadi antara orang terawal yang sampai.
 
Sebab aku memang tak suka dengan keadaan yang sesak + berpusing-pusing cari parking.
 
 
 
 
Habis shopping di Kaison, terus balik rumah.
 
Hahahahaha.................. memang ni lagi satu kelaziman aku.
 
Cari barang yang diperlukan, dah jumpa terus balik.
 
Memang tak ada masa aku nak berjalan berpusing 1 bangunan mall tu.
 
Balik rumah terus..........................
 
 
 
 
Antara barangan yang kami beli di Kaison :
 
1: Wallpaper 4 jenis design = 12 roll (RM19.90 per roll)
2: Frame RM16.90 & RM22.90 (2 jenis design)
3: LOVE wording (RM12.90)
4: Carpet Bulu kaler Purple (RM149.90)
5: Curtain (RM75.90)
6: Jam Dinding (RM29.90)
7: Cermin Dinding (RM29.90).
 
*Ewah... masa membeli bukan main banyak. Tah sempat tah idak la nak memasangnye. Nasib baik Mr.Cool dah tarik muncung. Kalau tak mau separuh kedai aku beli*
 
Projek DIY dimulakan dengan tangga rumah. Sakit benor mata aku setiap kali melihatnya. Cat untuk tangga dah lama beli.. Tapi nak mengecat, tah bila masa... nak tunggu kering bagai lagi... last-last beli wallpaper DIY kat tangga je... hahahahha.. ko ado??

Tara!!!! siap sudah DIY tangga..... hasil daripada wallpaper Kaison.. berbaloi kan?

 

Carpet ni aku letakkan pada ruang tamu.. Harga murah dan berbaloi dengan saiznya.

Mini Deco kat dinding ruang makan... Wall shelf white color ni aku beli kat JJ je.. RM29.90. Bunga deco yang cute tu hadiah dari boss 7 tahun lepas.. still masih simpan lagi.
*kalau bab deco aku memang akan puaskan ikut hati. Sanggup berlari singgah kat JJ belakang rumah tu semata-mata nak beli wall shelf. hahahahaha*

 
Finally siap jugak background dinner side... hehehe
 
Antara sedar dengan tak, rupenya aku dah berhabisan melebihi RM600 hari ni. Ok, dah. Bulan ni tak payah makan. Tengok dinding je la. hahahahahaha

Tuesday, April 21, 2015

Mrs. "P" Yang Dinanti...

Assalamualaikum....

Pagi Selasa yang indah..

Tajuk entry tah menahan. Entry nak isi masa lapang. Hahahaha.

Owh Mrs. "P"........

Biasanya Mrs. "P" yang dimaksudkan tu memang aku tak pernah nak tunggu. Kalau boleh nak buang dia jauh-jauh. Jangan datang-datang lagi.

Semua TTCians pasti rasa apa yang aku rasa.  Mengharapkan keajaiban akan berlaku setiap bulan. Mengharapkan agar Mrs."P" tak akan muncul. Dan mengharapkan satu perkhabaran yang lebih baik menanti.




Hari berganti hari......

Bulan berganti bulan......

Tahun berganti tahun.......

Namun, setiap kali itu jugalah berita yang baik itu tak muncul-muncul...
________________________________________________________________________________

Tup-tup bulan ni aku terlebih excited menunggu "dia" datang.

Eh, kenapa yek??




Sebabnya, FET aku akan dijalankan sebaik sahaja Mrs. "P" aku datang bulan ini.

Kalau ikut cycle, minggu depan.

Harap Mrs. "P" tak mengada-ngada buat hal bagi aku stress sebab lambat muncul.

Datang waktu macam biasa ye...

Jangan nak lari-lari.... ^^

PEACE YO ^

Wednesday, April 15, 2015

Aku Anti-Social?

Yes i am!

Entry kali ini ditulis sekadar nak meluahkan perasaan. Nak meluah pada orang sekeliling, urm..... susah nak memberi kepercayaan pada mana-mana individu waktu ini. Segalanya mungkin.

Sejak bermulanya rawatan IVF, aku memang jarang bergaul dan bercampur. Mungkin aku cuba kawal diri dari beremosi dan aku memang tak nak jawab soalan-soalan tak masuk akal dari "mereka". Aku lebih gemar baca blog TTCians sebab dorang je yang faham apa yang kita lalui.

Waktu ni, rakan-rakan sekerja sedang seronok buat majlis makan-makan, aku ambil keputusan tak nak bercampur. Macam-macam la alasan aku bagi nak elakkan diri. Lagipun, dalam waktu yang semakin hampir dengan FET, aku perlu kawal pemakanan. Tak boleh sebarangan main bedal je.

Tak kesah la orang nak cakap apa...Esok dah penat berhentilah tu.

Memang banyak suara sumbang kedengaran sepanjang tempoh aku naik ke pejabat bulan April ni. Kalau nak diikutkan hati, rasa macam nak berhenti kerja. Tapi, aku cuba bersabar sebab proses FET lebih kurang sebulan sahaja lagi untuk aku tempuh.

Setiap hari, selepas solat dhuha, aku akan solat hajat mohon Allah kuatkan hati dan perasaan aku melawan "mereka" yang boleh dikategorikan sebagai kejam. Gangguan emosi yang ditahap kronik.

Cemburu dengan seorang rakan aku yang pernah menjalani rawatan IVF ini, semua orang disekelilingnya memahami dan cuba menghormati keputusan yang dia lakukan.

Tapi aku?? Disaat hari OPU berlangsung, bunyi whatsapp di telefon masih tak henti-henti. Semuanya soal kerja, kerja dan kerja. Ditambah tekanan apabila "orang-orang" tersebut menekan dan tidak mahu memahami situasi aku.
*Kalau boleh rasa nak campak "mereka" dalam laut yang penuh dengan jerung.*

Kenapa dan Mengapa aku masih berada di sini?? Kenapa dan Mengapa aku diberi tekanan seperti ini?? Terus terang aku katakan, 90% emosi dan perasaan aku banyak terganggu dengan persekitaran, situasi bekerja disini.

Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Mungkin ada hikmah disebaliknya. Bersabarlah hati... Allah tidak akan menguji hambaNya melebihi kemampuan individu itu.

Daripada hati aku terus-terusan disakiti, telinga aku dihujani dengan pelbagai soalan yang agak "bengong" dan perasaan yang menyampah membuak-buak, lebih baik aku buat keputusan untuk tidak bergaul / bercampur dengan "mereka".

Dalam menunggu masa untuk FET ni, masih ada lagi soalan "maut" dari rakan sekerja.... "Kenapa rawatan postpone sebulan?", "Tak nak cuba ke ambil anak angkat?", "Macam susah je nak mengandung.."  Kalau korang ditempat aku, ape korang rasa???

Sudah banyak kali diterangkan cara rawatan ini. Tapi hakikatnya "mereka" memang masih tak mengerti dan memahaminya.... Mungkin kerana sengaja tak nak faham atau sengaja nak sakiti hati aku ataupun dalam erti kata lain "bodoh tak boleh diajar".

Saat ini, aku menghitung hari. Untuk menunggu waktu FET nanti. Tidak ada apa lagi yang aku kesahkan dalam hidup ini melainkan berusaha selagi boleh agar FET nanti berjaya.  Semoga Allah memudahkan segala yang aku hajati termasuklah dengan urusan pertukaran yang dah aku mohon lebih dari 3x.

Sebut pasal pertukaran, satu hal lagi. Arrrgghhhh.... rasa macam ada batu berat atas kepala.  Dah elok cantik aku plan semuanya, tapi alih-alih tak berjaya. Urm...... Hakikatnya, "mereka" bukan tak faham tapi memang TAK PERNAH CUBA NAK FAHAM..

Sekian sesi luahan hari ini.



Tuesday, April 14, 2015

Rawatan IVF - 12 (19/3/2015)

Sejak dari OPU hari tu, aku mula rasa tak sedap badan. Bermula hari Ke-2, aku kena muntah-muntah seharian tak berhenti, rasa macam nak mati pun ada. Susah nak bernafas, cirit - birit, sakit pada rahim tak payah cakap la.. mungkin kesan tekanan dari muntah yang berlanjutan seharian. Selera makan yang kurang. Terpaksa Mr.Cool beli Bubur Ayam Mc'D walaupun aku memang tak suka makan fast food.. baru boleh telan.

Hari ni, sepatutnya doctor akan buat ET (Embrio Transfer). Biasanya ET akan dibuat 3 hari selepas OPU. 

Sampai di hospital, aku jalan perlahan-lahan. Macam orang baru lepas bersalin pun ada. Nurse tengok keadaan fizikal aku macam tak bermaya. So, dia tanya aku, masih sakit lagi ke? Aku jawab, "Ya." Nak cakap banyak pun tak boleh sebab memang tak larat.

Tiba giliran aku, doctor panggil. Biasanya doctor Sumitra yang akan take over. Scan dijalankan ke atas rahim aku. Doctor tengok masih ada saki - baki telur yang tinggal. Sebab hari tu, telur yang membesar sangatlah banyak. Lebih kurang 18-19 biji. Yang dapat di ambil masa OPU hanya 11 biji. Jadi, baki yang tinggal itu yang menyebabkan kesakitan pada tubuh badan aku.

Lepas beberapa ujian dijalankan, doctor suspect aku kena OHSS. Apa itu OHSS? Waktu itu memang aku pun tak tahu.  Cuma doktor nyatakan ET aku tak boleh diteruskan hari ini sebab OHSS.  

Nada suara doktor agak marah juga bila aku tak datang hospital cepat-cepat lepas alami muntah-muntah masa hari ke-2. Urm...... tu la pasal. Nak ceritanya kat sini, konon rasa diri macam kuat, boleh tahan. Alih-alih nak dapat OHSS. 
*Kalau korang ada gejala sama macam aku lepas buat OPU, korang memang WAJIB datang semula ke hospital waktu itu. JANGAN tangguh-tangguh.

Sedih memang la ada. Doctor jelaskan pada aku kenapa ET tak boleh dibuat jika pesakit mengalami OHSS. Jika diteruskan juga, peratus untuk berjaya sangat tipis dan akan mengancam nyawa aku sendiri. Selepas penerangan, aku terima dengan hati terbuka. Mungkin ada hikmah yang Allah nak bagi.

Kesimpulannya, semua embrio aku akan di "freeze" dan doctor akan jalankan FET (Freeze Embrio Transfer) selepas 2x cycle period datang.

Antara 11 ovum yang dapat dikeluarkan, yang terbaik adalah 8 biji. 5 biji dari itulah yang sihat dan selamat disenyawakan. Alhamdulillah....... 

Doctor bagi MC 2 minggu untuk rehat. Bagi yang mengalami OHSS ini, dinasihatkan korang perlu rehat sahaja. Sebab ada pelbagai simptom sepanjang OHSS ini antaranya: muntah-muntah, cirit-birit, susah bernafas, pening kepala, rasa nak pitam, kembung perut (macam mengandung 3 bulan), sakit dada dan macam-macam lagi. 

Jadi, suka atau tak, korang memang kena rest je kat rumah. Untuk pengetahuan, selepas itu, kita perlu datang ke hospital untuk perkembangan ujian darah dan hormon selang 2 hari sekali sehingga doktor sahkan bahawa kita dah sihat dan boleh bekerja seperti biasa. 
*yang part ni maybe bergantung pada tahap OHSS korang*

Miss "P" untuk cycle ke-2 akan datang hujung April. Berdebar-debar pulak rasanya.... Harapan dan doa aku, semoga kelima-lima embrio berada dalam keadaan sihat & semoga Allah mempermudahkan segalanya nanti....


Tunggu mama ye sayang............ :-(

Perbelanjaan ke 12:
1) Freeze Charge : RM1000
2) Parking Fee : RM2
Total : RM1002



Monday, March 30, 2015

Rawatan IVF - 11 (16/3/2015)

Maaf lama sangat nak hapdep entry. Kesihatan tak berapa baik.



Isnin.

Seawal jam 8.30 pagi kami dah sampai di Klinik MAC, HUKM.

Malam tadi, jam 10.00 malam, aku perlu ambil suntikan Ovidrell.

Jam 9.30 pagi, nurse panggil masuk ke dalam wad. Berdebar-debar rasa hati. Macam nak buat operation je. Takut, seram, sejuk, semua ada.

Hari OPU tak memerlukan berpuasa. Jadi, pagi sebelum bertolak ke HUKM aku dah bantai roti canai. Hehe.

Ubat dimasukkan. Aku tak pasti jam berapa aku masuk bilik OPU. Sedar-sedar nurse panggil nama aku. Giliran aku masuk ke dalam bilik OPU.

Fine. Masa ni lagi berdebar-debar. Risau semua ada. Dalam bilik, aku diberikan suntikan ubat tidur/ubat pelali. Aku pun tak berapa pasti. Yang pasti, lepas suntikan aku terus tak sedar diri.

Penghujung masa, tiba-tiba aku tersedar dan terasa sakit. Mungkin masa tu, ubat tidur yang diberikan dah hilang. Terasa sakitnya masa OPU dijalankan. Antara sedar dengan tak, aku dengar nurse panggil nama aku dan minta aku buka mata....

Alhamdulillah. Semuanya selesai. Tapi sakitnya..... Allah sahaja yang tahu. Dan aku pasti, semua yang pernah menjalani rawatan IVF yang perlu melalui prosedur OPU ni rasa sama yang aku rasa.

Nurse minta aku baring di katil. Lebih kurang pukul 3 petang baru aku sedar. Walaupun sakit, tapi aku gagahkan juga bangun dan bersiap nak balik.

Mr.Cool aku pergi ambil ubat dan buat pembayaran. Sakit yang terasa tiba-tiba reda bila tengok Mr.Cool setia tunggu aku kat luar.... 

Nurse nasihatkan beberapa perkara sebelum kami balik. Antara pesanan yang sempat aku dengar; minta datang ke Kecemasan Ibu Mengandung jika mengalami muntah-muntah yang berlarutan dan sesak nafas.

Alhamdulillah... Selesai sudah hari ini.. Balik rumah dan terus rest. Muntah 2x petang tu.... Lepas makan panadol aku terus tak sedar apa. Nurse kata kalau sakit sangat boleh makan panadol. Dekat maghrib baru bangun...

Sakit masih ada... Berlanjutan sampai ke malam hari. Harap esok dah hilang semua kesakitan ni..... 

Sambung lagi................

Perbelanjaan ke 11 :

1) Oocyte Retrieval = RM1650
2) Tabung MAC = RM1700
3) Parking = RM4.00
Total = RM3354

Rawatan IVF - 10 (14/3/15)

Sabtu.

Temujanji hari ni hanya untuk scan. Kebiasaannya, temujanji hari Sabtu hanya terhad kepada sesetengah patient sahaja. 

Alhamdulillah... Bila scan semua telur membesar dengan baik.

Tak banyak yang nak dikongsikan hari ini...

So, OPU (pick up telur) akan dilakukan pada hari Isnin (16/3/2015).

Semoga Allah permudahkan segalanya.

Amin.

Update:

Terlupa nak masukkan harga utk down payment IVF.

Perbelanjaan Ke 10 :
1) Down Payment IVF : RM800
2) Parking Fee : RM2
Total : RM802

Rawatan IVF - 9 (12/3/2015)

Khamis.

Sekali lagi appoiment untuk kesan perkembangan telur. Alhamdulillah.... Semuanya lancar. Telur pun membesar dengan baik.

Selepas scan dijalankan, aku dinasihatkan mengambil enjection Gonal-F & Orgalutran untuk tempoh 2 hari lagi. 

Disebabkan appoiment akan datang adalah jatuh pada hari Sabtu, aku dinasihatkan untuk membeli sekali satu lagi ubat tambahan, Ovidrel.

Oh ya, lupa nak bagitahu. Suntikan Orga adalah untuk mengawal telur daripada pecah sebelum masa ianya disedut nanti.

So, untuk hari ni, ada 3 jenis ubat enjection yang aku beli. Gonal-F, Orgalutran & Ovidrel. Enjection Ovidrel ni aku kena beli dulu sebab sabtu farmasi HUKM tutup. Dapatkan nasihat doktor untuk waktu ambil enjection Ovidrel ni ya.

Sambung lagi untuk appoiment pada Hari Sabtu nanti.

Perbelanjaan ke 9 :
1) Gonal-F (2 hari) = RM375.50
2) Orgalutran (2 hari) = RM250
3) Ovidrel = RM82.50
4) Parking = RM2
Total = RM710.00







Monday, March 16, 2015

Rawatan IVF - 8 (9/3/2015)

Hari Isnin.

Masuk hari ke 7 enjection Gonal-F, doktor dah set appoiment untuk scan perkembangan pembesaran telur hari ini.

Scan dijalankan seperti biasa. Tak lama pun tunggu. 

Habis scan, ingatkan dah abis setakat tu sahaja cucuk mencucuk. Rupanya tak. Kena tambah dose ubat lagi. 

So, aku dinasihatkan untuk datang semula scan perkembangan telur pada hari Khamis (12/3/2015). Ubat Gonal-F diberikan lagi untuk tempoh 4 hari sehingga Khamis. Pertambahan enjection juga diperlukan dengan Orgalutran. Juga diperlukan selama 4 hari. *sat lagi aku upload gambar*

Enjection Orgalutran perlu diambil selepas sahaja enjection Gonal-F. Tak boleh nanti-nanti. Tak boleh tangguh. Merasalah kesakitan yang berganda dengan enjection Orga. *sakitnya tuh.... Huishhh...*

Cara enjection sama sahaja macam Gonal-F. So, tak perlu ajar lagi la ye.


Selesai scan, beli ubat, balik.....
*MC tak dapat hari ni, sebab scan sahaja. Terpaksa la aku ambil EL*


Perbelanjaan Ke 8 :
1) Gonal-F (stok 3 hari. Sebab hari tu beli ada lebihan lagi 1x dose) = RM375.50
2) Orgalutran = RM500
3) Parking = RM2
Total = RM877.50


                               







Tuesday, March 10, 2015

Rawatan IVF - 7 (27/2/2015)

Pagi 27/2/2015 (Jumaat)...

Aku baru sedar next cycle period jatuh pada hari Ahad.  Jadi, untuk dapatkan kepastian aku call unit MAC.

Alhamdulillah.... 2x call panggilan aku dijawab.

Atas nasihat nurse, aku diminta datang dan beli ubat pada hari itu juga.  Walaupun kitaran haid aku mungkin akan lewat sedikit seperti yang ada dalam perancangan jadual. Ambil langkah selamat.

Lepas lunch, aku ambil half day untuk ke HUKM. Mr.Cool aku paksa juga untuk half day. Mana taknya, kot la apa yang nurse tu explain aku x berapa faham at least ada juga Mr.Cool yang boleh cover. Dan lagi 1, dia perlu ikut aku ke HUKM juga sebab nak belajar cara-cara cucuk mencucuk. Takkan aku nak cucuk diri sendiri.. Berani sangat?? Hehehe...

Ubat yang dibekalkan adalah Gonal-F. Sila highlight nama ubat ni sebab next appoiment nurse akan tanya apa nama ubat yang korang amik.

Dose yang wajib ambil adalah 150 ml selama 7 hari berturut-turut. Untuk suntikan tu, sila ikut jadual time yang nurse bagi dengan betul. Jangan skip atau lewat dari masa yang ditetapkan. Kalau korang lewat atau skip, bimbang ubat yang dibagi tak menjadi. Dan yang paling penting sia-sia sahaja duit yang korang bayar untuk ubat tu. *Mahal weyyy*. Macam aku, nurse tetapkan pukul 6.30 pagi. So berperanglah aku dengan kesakitan sebelum pergi opiz dengan enjection tu.... Waaaaaa...... Redha je la.. 

Cara suntik mudah je. Sama macam insulin. *aku dah biasa cucuk insulin kat abah^^*:
1) Ambil jarum. Buka kertas penutupnye.
2) Sarungkan pada pen yang dibekalkan dan ketatkan.
3) Pusing dose dari 0 kepada 150.
4) Buka penutup jarum.
5) Suntik pada perut dalam keadaan baring. Pastikan pegang tegak. Sukatan jarak : 2 jari dari pusat. Rotate posisi cucuk. Jangan cucuk pada tempat yang sama setiap hari. Kawasan yang dibenarkan hanya sekeliling pusat. Atas, bawah, kiri & kanan.
6) Tekan button ubat sampai abis (0). Buat kiraan  10-12 saat, baru cabut dari perut.
7) Baring & rehat selama 5-10 minit.
* aku keluarkan ubat dari peti sejuk lebih kurang 15 minit lepas tu baru mula cucuk. Kalau sejuk sangat terkejut pulak perut aku nanti. 

Kesan-kesan selepas suntikan ubat Gonal-F:
1) Terasa cramp pada rahim. Macam nak period. Maybe lebih sakit dari itu.
2) Sakit pinggang yang amat sangat sampai nak berdiri tak kena, duduk tak kena. Tidur sambil nangis tahan sakit pinggang. Dinasihatkan waktu ni korang dah mula rehatkan diri..... Mood biar tenang. Jangan buat kerja berat.
3) Terasa sesekali mual... Ubat dah bertindak dengan hormon.
4) Over emosi.... Yang ni memang terjadi. Tak boleh elak. Hahahaha.
* kesan ni mungkin berbeza terjadi pada setiap individu. Ikut ketahanan hormon dan fizikal korang. Dan kesan ni akan mula dirasai pada suntikan hari ke 3 @ 4. Bertabahlah ye.... 

Oh ya!! Pastikan korang simpan ubat dalam peti sejuk. Letak pada ruangan bawah. Jangan pulak korang bekukan udah.. Dan lagi 1, highlight jugak Cooler Bag. Kalau ada, bawa siap-siap dari rumah. Kalau tak ada, korang boleh sewa di Farmasi (tempat beli ubat) dengan harga RM50. Cooler Bag ini wajib diperlukan sebab ubat yang korang beli perlu sentiasa dalam keadaan sejuk.

Sambung lagi esok.......
* nasib la ada mood nak menulis.. *

Perbelanjaan Rawatan Ke 7 :
1) Ubat Gonal-F : 7 Hari = RM1495.50
2) Cooler Bag : 1 pc = RM50
3) Beli Ais Kat Cafe = RM0.50 sen
4) Parking = RM2
Total = RM1552.00


Ini Ubat Gonal -F. Beli untuk 7 hari. 
* Ubat ni akan ada lebih 1x lagi dose. Jadi hari appoiment nanti korang wajib cucuk jugak. Dapatkan nasihat nurse untuk ubat yang berlebihan.

Pen & Jarum dibekalkan sekali dalam box. Banayk benor jarumnya.. Nak guna sikit je. Huhu.


Angka 0 menunjukkan bacaan dose. Pusing button merah sampai ke dose yang diperlukan. Dose ubat memang dah siap ada dalam pen tu. Tak payah fikir nak refill ke ape ke. ^^


Balik rumah cek-cek lemari rupenye aku ada je Cooler Bag ni. Hahahahaha.. Hampeh dah sewa. Nasib boleh refund balik bila time pulangkan semula nanti.

Taraaaaa.... Cute kan Cooler Bag saye ^^

Tuesday, March 3, 2015

Rawatan IVF - 6 (25/2/2015)

Appoinment hari ni lebih kepada sesi taklimat dan laporan hasil kesemua ujian (darah & sperma) yang kami dah lalui sebelum ini.

Sampai di HUKM seawal 8.45 pagi. Temujanji pada jam 9.00 pagi.

Masa menunggu tu adalah yang paling berat sekali. Gelisah, risau semua ada. Mana tak nya, semua keputusan akan diberitahu hari ni. Dalam hati tak henti-henti doa dan selawat semoga Allah beri jalan yang baik buat kami.

Bila nama dipanggil, kami sama-sama masuk ke bilik temujanji. Prof. Zainul ada mesyuarat. So, kami dilayan oleh doktor lain. Aku tak pasti nama doktor wanita tu. 

Penerangan dan hasil laporan dimulakan dari hasil ujian darah aku. Kemudian hasil sperm dan akhir sekali rawatan-rawatan yang dicadangkan selain dari IVF.

Melalui prosedur, doktor terangkan pada kami untuk cuba peringkat awal dengan buat operation membetulkan semula kedua-dua tube aku. Atas penerangan tersebut doktor ada nyatakan sekali kesan dan peratus berjaya.  Aku tak nak explain sebab panjang sangat. Hehe. Kalau nak tau email je aku ye. (fyra_230703@yahoo.com)

Kemudian doktor terangkan pula kaedah yang lebih advance iaitu dengan IVF. Setelah itu doktor beri kami sedikit masa untuk bincang dan buat pilihan.

Kami tak tunggu lama, terus proceed untuk rawatan IVF. Doktor tanya bila nak mula. Kami jawab secepat mungkin.

Jadi, doktor bagi kertas biru ni untuk kami bawa pada appoinment akan datang. 

Seterusnya, aku hanya perlu menunggu kitaran haid aku sampai untuk membeli ubat. Perlu diingatkan, bila period hari pertama sampai, korang terus call unit MAC untuk maklumkan pada mereka. Dan korang wajib datang untuk beli ubat. Ubat ni korang perlu cucuk pada hari ke dua period. 

Selepas itu, doktor arahkan aku ambil sekali lagi ujian darah dan boleh balik. 

Sambung cerita nanti masa appoinment untuk beli ubat ye :)

Tips: Sekiranya period korang dijangkakan akan jatuh pada Sabtu/Ahad, langkah terbaik adalah call dan datang terus pada hari Jumaat untuk ambil ubat. Kalau korang terlepas maknanya kena tunggu bulan yang berikutnya pula.

Update Perbelanjaan Rawatan IVF Ke 6 :
1) Follow up Fee = RM20
2) Ujian Darah = RM5
3) Parking = RM2
Total = RM27
* Sorry lambat.. :)*
 

Rawatan IVF - 5 (11/2/2015)

Dah lama menyepi dalam blog ni. Mungkin sifat malas yang menggunung mengaburi semuanya. Hihi..

Rawatan kali ini adalah untuk Mr.Cool. Appoinment dah ditetapkan pada 11/2/2015 untuk Semen Test. Ujian ini adalah untuk mengetahui kandungan dan kualiti sperm suami sebelum rawatan IVF dijalankan.

Disebabkan masa sampai di HUKM tu aku tengok parking dah bertindih-tindih, aku ambil keputusan tunggu Mr.Cool dalam kereta sahaja. Malas nak cari parking. Penuh. Sampai aku terpaksa menunggu dalam kereta di lot parking Stadium Renang Cheras (berhadapan dengan HUKM). 
Semen Test pun tak lama. Dalam 30 mins - 1 jam sahaja. So, lepas selesai aku ambil Mr.Cool semula di lobi.

Hasil Semen Test akan diketahui selepas 2 minggu iaitu pada 25/2/2015. Waktu tu kami akan jumpa dengan Prof. Zainul.  Berdebar-debar ni. Rasa tak sabar pun ada. Rasanya kalau korang buat rawatan IVF dengan pihak swasta hasil ujian akan diketahui pada hari tersebut juga. (Info dari sahabat yang pernah menjalani IVF dengan pihak swasta)

Harga untuk Semen Test ini adalah RM50. Resit akan diberikan. Kalau korang pakai GL, jangan lupa simpan semua resit ya.

So, takat ini sahaja...

Tunggu laporan 25/2/2015 nanti ya. 

Aku akan kongsikan.

 Perbelanjaan Rawatan Kali Ke 5:
1) Semen Test = RM50

Total = RM50

Friday, February 6, 2015

Rawatan IVF - 4 (31/1/2015)

Rawatan ke-empat ni hanya untuk ambil darah sahaja.

Hari ke-2 period aku dinasihatkan untuk datang ke HUKM ambil ujian darah.

Kebetulan jatuh pada hari Sabtu.

So, Jumaat aku call Klinik O&G HUKM untuk maklumkan period ke-2 aku jatuh pada Hari Sabtu.  Nak tahu boleh ke aku datang ambil ujian darah memandangkan jatuh pada hari minggu.

Alhamdulillah....

Semua berjalan lancar..

Aku dinasihatkan ke Jabatan Kecemasan Sakit Puan HUKM..

Lokasi dia agak jauh ke belakang. Penat aku menapak. Konon masa sampai dah happy sebab parking semua kosong. Rupanya aku dah salah port parking. Hampeh. Menapak la aku pepagi buta tu. Dah la datang sensorang. Mr.Cool terpaksa standby kerja.

Ha... Jangan korang lupa bawak buku biru tau!

Hehehe.....



Rawatan seterusnya pada 11 Februari 2015.




Tunggu ye.

Nanti aku share lagi info..


Wednesday, January 28, 2015

Rawatan IVF - 3 (16/1/2015)

Ikutkan jadual, 16 Januari 2015 ada appoinment untuk ambil ujian darah kitaran ke 21 hari.

Petang 14/1/2015 , aku buat panggilan ke Klinik O&G untuk tanya beberapa soalan. Cadangan aku, nak ambil half day sebelah petang. Jadi tak lah kena ulang alik dari pejabat ke hospital.

Punya confident tinggi, masa call nurse kata boleh datang waktu petang. Jadi, nurse tanya soalan lagi , "Hari tu doktor ada pesan kena puasa?". Dengan yakin lagi aku jawab "Tak ada". "Owh, kalau tak perlu puasa, datang petang pun tak ape..." "Ok. Thanks". Spontan sungguh aku jawab. *tahap confident yang melampaui batas*

Balik rumah, tengok kad temujanji dan borang yang doktor bagi, rupanya aku diarahkan untuk berpuasa malam 15 Januari 2015 tu. Alahai..... Keputusannya, aku kena datang ke hospital awal pagi. *Nasib badan hadap jem pagi-pagi buta nanti*

Untuk pengetahuan, syarat Ujian Darah kitaran haid ke - 21 hari, korang perlu berpuasa malam itu bermula jam 12 tengah malam sehingga pagi keesokkannya (selepas sample darah diambil).

Pagi tu bangun dan bersiap. Bertolak dari Seri Kembangan jam 7.30 am dan sampai di HUKM jam 9.15 am. *stress tahap melampau*

Ha...... ni ada lagi satu citer nak dikongsikan..

Dengan penuh keyakinan melampau-lampau, aku terkontang - kanting bawa Borang Ujian Darah (warna hijau) tu sahaja.

Sampai di Klinik O&G HUKM, nurse tanya....

"Puan ada bawa GL tak?"

Aku jawab, "Tak ada.. Nurse hari tu dah ambil tapi dia tak pulangkan pun...."

Hairan.... Diam sekejap.

"Kad biru ada bawak sekali tak?"

"Tak ada juga... Rasanya doktor tak ada bagi pun hari tu"

Nurse bertambah hairan.

"Erm....macamana boleh tak bagi ye? Doktor biasanya mesti bagi.... "

"Tak apa lah, bila ada jumpa doctor nanti, bagitahu awak tak dapat kad biru ye." Tambah nurse lagi.

Selesai urusan ambil darah (kurang 15 minit), aku breakfast dan balik ke pejabat semula.

Sampai je rumah petang tu, cepat-cepat tengok semula dokumen yang doktor ada bagi masa perjumpaan kali ke - 2 ......

"Allah.. Rupa-rupanya ada!!!"

Hahahahaaa.... tu la pasal. dek kerana tahap confident yang terlampau tinggi aku main jawab je tak ada. Hampeh.

Next visit nak minta maaf dengan nurse tu la.

Hihihihi.....

*Moral of the story, sila semak semua dokumen yang ada dalam fail korang. Yang paling penting jangan lupa KAD BIRU & GL (bagi yang ada) setiap kali ada appoinment ye. *


Thursday, January 22, 2015

Day 1 - Cuti-Cuti Lumut / Pangkor

Hampir 3 bulan dah berlalu...

Baru hari ini aku berkesempatan nak hapdep entry ke Lumut / Pangkor.

Terok abis ni!!



Pagi 6 November 2014 (Khamis)...

Bangun seawal 6.30 pagi. Al maklumlah, kat rumah mentua kan.. mana dan nak sambung tidur balik.. kehkehkeh...

Seperti yang korang semua tahu, plan asal adalah ke Cameron Highlands. Namun, disebabkan cuaca yang tak mengizinkan, tambah pulak dengan hujan lebat, banjir dan tanah runtuh yang baru berlaku, keputusan diambil untuk melencong ke Lumut.

Mana tak nya, pagi tu kami memang dah berada di rumah mentua. Budget kunun-kunun kalau bergerak dari situ tak adalah nak rushing sangat. Kiranya dah separuh jalan. Tapi bila bangun pagi, tengok berita, banjir kilat di Cameron Highlands semakin kronik, terus Mr.Cool ajak ke Lumut....

Hati dah pedih, tapi apakan daya.... Tak berani nak ambil risiko.

So, pagi tu lepas breakfast cepat-cepat bukak booking.com untuk batalkan penginapan di Cameron Highlands yang dah ditempah awal bulan. Dek kerana masa pun dah suntuk , tambah dengan feel yang ke laut nak pergi Lumut, aku random booking je mana-mana hotel. 

Mana tak nya, kali ni dah masuk 4 kali dalam hidup aku ke Lumut... Alahai......

Lebih kurang jam 12.00 tengahari, kami bergerak ke Lumut. Jarak dari kampung Mr.Cool ke Lumut tak jauh. Dalam 1 jam 30 minit sahaja.

Jam 2.00 petang.....

Selamat sampai. Mood tak berapa nak ada lagi. Kata Mr.Cool, esok sahajalah kita berjalan sekitar Lumut. Hari pertama ni rehat-rehat aja...

Lepas check - in, lepak dalam bilik, makan, tidur dan tengok tv. Petang sikit keluar minum dan terus having dinner.

Sambung ke hari ke - 2............................


*Sumber Ihsan Google*

Wednesday, January 21, 2015

Rawatan IVF - 2 (5/1/2015)

Pagi tu dengan debaran penuh di hati, aku gagahkan diri, bersiap rapi.. *cewah... dah macam pantun dah*

Temujanji dah dibuat jam 10.00 pagi. Tapi nurse nasihatkan agar datang awal sejam untuk ambil nombor giliran. Kalau lambat, alamat petang nanti baru dapat jumpa doktor.

6.30 am : Bangun pagi.. solat fardhu dan solat hajat juga mohon dipermudahkan segalanya.

7.30 am : Selesai bersiap. Breakfast dulu jemput-jemput. heheh..

8.00 am : Bergerak ke HUKM.. Keluar awal sebab nak elak jem.

9.15 am : Sampai je HUKM, berlari anak aku g kaunter. Takut dah ramai orang.

Kronologi semasa menunggu giliran............ >

______________________________________________________________________________

 > Sampai je kaunter daftar tadi, nurse bagi nombor giliran dalam slip pesakit warna kuning.  Lepas tu aku diarahkan untuk cek tekanan darah , timbang berat dan tinggi.

*Borang Kuning Laporan Pesakit*

> No giliran adalah 9014. *angka 9 di depan menunjukkan nombor bilik yang akan kita masuk. So, aku kena masuk bilik 9*

> Sampai turn masuk dalam bilik rawatan, ada sesi soal jawab dengan doktor. Beberapa soalan akan ditujukan. Yang aku ingat doktor akan tanya, "Apa jenis ubat yang kamu dah makan sebelum ni semasa awal rawatan dulu?" , "Jumlah kekerapan kamu bersama suami dalam seminggu?" dan "Bagaimana dengan kitaran haid kamu? Regular ke tak?" So, korang semua pastikan maklumat yang diberi adalah tepat dan kalau ada jadual lebih baik bawak. Mudah untuk doktor kesan masalah dari awal. Nasib baik aku ada buat jadual kitaran haid dari Tahun 2013... Selamat..... Oh ya!! Jangan lupa datang dengan suami ye. Sebab ada juga beberapa soalan yang doktor akan tanya untuk pihak suami.

> Seterusnya doktor akan buat ujian pap smear dan cek rahim. Serius, sejak lepas kahwin memang aku tak pernah buat pap smear. Awalnya tak tahu pun apa tujuannya. Rupanya pap smear ni perlu dibuat untuk wanita yang telah berkahwin bagi mengelakkan atau mencegah penyakit cancer rahim dan seangkatan dengannya. Banyak sangat. Nak tahu macamana cara dan kaedahnya?? Korang rajin-rajin la google ye.

> Alhamdulillah... syukur. Doktor kata rahim aku dalam keadaan baik. Tak ada masalah. Bermakna bebas dari cyst, fibroid atau masalah yang menghalang dari meneruskan rawatan IVF ni.

> Doktor minta aku ke bilik 11 untuk ujian scan rahim secara lebih details. Sebab ikut laporan dari KPJ masa aku buat HSG, doktor ada kata yang mereka "suspek" ada endometriosis.

*Laporan HSG X-Ray dari KPJ Hospital Tawakkal*

> Alhamdulillah sekali lagi Allah berikan aku berita gembira... aku juga bebas dari penyakit endometriosis. Syukur... Cuma, masalah "tube blocking" pada kedua-dua tiub fallapio aku.. Redha.. Disaat terasa diuji dengan dugaan yang berat, Allah "bukakan" mata dan telinga aku untuk mendalami bahawa ada ramai lagi wanita yang lebih hebat ujian yang diberikan. Kebetulan, waktu jumpa doktor, ada seorang pesakit sedang dalam perbincangan dengan seorang doktor dalam bilik yang sama. Memula aku macam tak nak amik port, tapi sebab doktor tu cakap kuat sangat. So, nak tak nak aku terpaksa la tadah je telinga dengar... Kesian... Simpati dengan nasib dia. Rupanya dia ade ketumbuhan dalam rahim. Cerita selanjutnya aku tak sanggup dengar lagi. Terus bagi perhatian pada cacatan yang doktor aku tulis diruang komen history pesakit.

> Kemudian, doktor akan bagi borang dan set beberapa tarikh untuk ujian seterusnya :
   - Tarikh ujian Sperma untuk suami
   - Tarikh ambil darah pada hari ke 21 selepas period (kiraan bermula dari hari pertama)
   - Tarikh ambil darah sekali lagi untuk kitaran haid seterusnya. Kali ni pada hari ke 2 period.

*Borang Ambil Darah*
 
*Borang Ujian Sperma*

> Nasib baik doktor baik hati. Boleh bagi aku MC dan Mr.Cool time-sleep. Hehehe.. Sebelum keluar dari bilik rawatan, doktor refer aku ke Unit MAC untuk buat temujanji seterusnya. Jadi, selepas ni rawatan aku akan diambil alih oleh Unit MAC. 

> Selepas tu, kami ke Unit MAC untuk buat temujanji. Nurse bagi beberapa pilihan pakar untuk kami pilih. Sebulat suara, kami pilih Prof. Dr. Zainul Razi bin Rashid.

> Selesai sudah urusan di HUKM untuk hari ini. Alhamdulillah.....  
______________________________________________________________________________

Total Cost : RM4 (Ticket Parking)

Monday, January 12, 2015

Rawatan IVF - 1 (24/12/2014)

Assalamualaikum....

Macam-macam perasaan ada dalam hati ni.

Seram, takut, berdebar, rasa tak tentu arah dan macam-macam lagi yang susah nak dibayangkan.

Semuanya kerana rawatan IVF yang akan dijalankan sepenuhnya mulai Januari 2015.

Besar harapan agar Allah S.W.T. memberi jalan dan memudahkan segalanya dengan baik.

Ingin kongsikan semua info dan maklumat dari awal rawatan hingga akhir. Semoga ianya dapat dimanfaatkan untuk semua yang memerlukan......

_________________________________________________________________________________

24 DISEMBER 2014 (RABU)

6.30 am : Bangun pagi dan menyiapkan diri.

7.30 am : Keluar rumah untuk sarapan pagi dan terus bergerak menuju ke HUKM

8.30 am : Sampai di HUKM menuju ke Ruang Pendaftaran Klinik O&G. Lokasi Klinik O&G bertempat di Ground Floor.

i) Masuk Pintu Utama > menuju ke sebelah kiri > terus sampai nampak pintu kaca. Klinik O&G berada di sebelah kanan.

ii) Sekiranya korang dah ada surat refer dari mana-mana Klinik Pakar/Hospital, sila bawa bersama bagi memudahkan proses pendaftaran. 

9.30 am : Proses pendaftaran dan booking dibuat di kaunter 5

i) Diberi Borang Pendaftaran Pink. (rujuk gambar dibawah)

ii) Temujanji dengan pakar. Pilihan hari diberikan. (Isnin ,  Selasa @ Khamis). Ikut suka korang nak pilih hari apa. Aku pilih hari Isnin. Jadi, selepas ni, setiap temujanji dengan pakar adalah hari Isnin.

10.00 am : Nurse dah tetapkan tarikh pertama berjumpa doctor adalah pada 5 Januari 2015.

10.15 am : Keluar dari HUKM. Balik rumah.

Total cost : RM 1 = Tiket parking



Dibawah ni aku attach sekali beberapa lampiran yang maybe korang perlukan untuk rawatan IVF. Jangan lupa bawa sekali masa pendaftaran hari pertama ye :-)


BORANG PENDAFTARAN (PINK FORM)
* Tak silap kalau taka da GL, korang kena bayar RM30 untuk pendaftaran
 
GL DARI MAJIKAN (KAKITANGAN KERAJAAN SHJ)

SURAT RUJUKAN DARI PAKAR

LAPORAN HSG DARI KPJ

Friday, January 2, 2015

Selamat Tinggal 2014 ..........

Tak sangka rupanya antara sedar dengan tak aku dah masuk 3 siries tahun ni.

Arghhhhhh....

Umor makin lama makin naik, tapi cita-cita dan harapan banyak yang tak tercapai lagi...

2014....

terlalu banyak sangat kenangan suka dan duka..

Bersyukur dengan setiap dugaan dan cabaran..

Disebalik kedukaan, banyak terselit kemanisan..

Semoga dengan kedatangan 2015 membawa seribu kejayaan atas usaha yang dilakukan..

WELCOME 2015 :-)